Tuesday 14 February 2012

LELAKI YANG BAIK

Lelaki ini, sebenarnya apa mahunya? Lelaki jugalah yang mengatakan perempuan itu seperti mawar, dan kata mereka, "Untung duri ini menumbuhkan mawar." Namun pada ketika lainnya, mereka juga yang berkata, "Rugi sekali mawar ini mempunyai duri."






Lalu apa mahumu, wahai lelaki? Saya ini benarlah perempuan yang tidak tahu berfesyen, tidak tahu jenama make up apa yang sesuai untuk saya, dan tidak tahu serba-serbi, namun saya tetap juga seorang perempuan yang punyai hati bagi memberi cinta, tetap juga punyai hati bagi menerima cinta.



Namun lelaki ini pandai betul. Pada saat saya berkata begitu, ini pula jawabnya, "Cinta Tuhan itu juga yang dipinjamkan kepada hati kamu. Jadi, elok sangatlah sekiranya kamu dahulukan cinta Tuhan dan pasti kamu tidak akan kecewa. Malah cinta manusia juga yang akan menyusul. Ataupun mungkin sahaja, kamu boleh menjadi seperti Rabiatul Adawiyah."



Lalu diam sahajalah saya kerana, kata-kata lelaki itu adalah 'noktah' hati. Tidak ada salahnya pada kata-kata itu tetapi, untuk perempuan yang lemah seperti saya ini, bagi mencapai cinta Tuhan, perlukan bantuan, dan pastinya bantuan itu datangnya daripada seorang lelaki bernama suami. Tuhan tahu sekuat mana hamba-Nya, dan bantuan Dia tiba dalam bentuk cinta seorang lelaki.



Sekiranya tidak 'bantuan' yang Tuhan hantar itu, jadi bagaimana saya seorang perempuan yang lemah mampu memperoleh rahmat dan reda yang lebih daripada Allah? Lelaki juga tahu, perempuan yang taat kepada suami itu adalah perempuan yang menerima reda yang besar daripada Tuhan sehingga boleh masuk dari mana-mana pintu syurga yang perempuan itu mahu.



Jadi, mudahnya, saya ini tahu diri, saya adalah perempuan yang tidak kuat tetapi punya cita-cita besar bagi meraih cinta Ilahi. Lalu, para lelaki, bantulah saya ke arah itu. Namun, seperti kata saya tadi lelaki ini apa mahunya? Maksud saya, lelaki baik-baik ini, apa mahu kamu? Untuk lelaki-lelaki celaka di luar sana, tidak perlu tersenyum-senyum memberitahu mahumu. Jangan sampai ludahku, hinggap di wajah penuh nafsumu.



Soalan saya itu yang saya pendam-pendam dalam hati, sehinggalah pada suatu hari, saya mengerti juga, namun dalam bentuk yang membuat saya semakin bingung.



Ibu cantik
Begini sahajalah, biar saya ceritakan siapa saya, dalam satu ayat. Saya adalah perempuan yang berharap reda Allah, namun dalam masa yang sama saya adalah perempuan yang lemah. Itulah saya, dan lemahnya saya itu, adalah kerana tanpa sedar sering juga terpaut hati kepada lelaki baik itu dan lelaki baik ini dengan harap mereka menjadi suami saya.



Memanglah saya tidak melulu pergi kepada lelaki itu dan berkata "Kahwini aku", tetapi tetap juga saya berasa berdosa kerana mempunyai rasa seperti itu. Rasanya seperti, murah benarlah hati saya ini. Namun itulah yang saya beritahu tadi, saya lemah untuk urusan yang satu itu. Mujur juga saya masih kuat bagi menahan diri bagi tidak terlihat seperti perempuan yang murah.
Sehinggalah pada suatu hari, saya perempuan yang lemah ini sempat berbicara dengan seorang ibu yang sudah punyai lima anak, tetapi wajahnya tetap segar, muda dan saya takjub sekali dengan dia. Bayangkan sahaja, sudah punyai lima anak tetapi tetap disangka anak dara yang baru mekar. Luar biasa sekali.



Seperkara yang saya tahu, ibu itu keturunan yang memang sedia cantik dan awet muda, namun seperkara lagi, saya baru tahu pada hari itu dan melalui ibu itulah, saya semakin rungsing dengan cerita lelaki-lelaki baik ini.



Lelaki baik



Petang baru masuk bersama awan-awan yang berbentuk kasut mary jane. (Bentuk kasut yang saya baru belajar secara tidak sengaja dua hari lepas). Saya pula pada ketika itu dengan wajah yang baru dikesat minyaknya sedang duduk semeja dengan seorang ibu beranak lima yang cantik.



Memang sudah tugas saya, sebagai editor buku bagi bertemu dengan manusia-manusia yang mahu menulis, dan pada petang itu, saya bertemu ibu yang mahu menulis. Menurutnya, dia mahu menulis berkenaan mendidik anak gaya Saiditina Fatimah, dan untuk saya, itu sangat bagus bagi pasaran buku.



Lalu cepat-cepatlah saya bertemu janji dengan dia, dan mulanya, terus-terang sahajalah di sini, saya menyangka akan bertemu perempuan yang berwajah keibuan, menyejukkan mata, dan membuat saya berasa menjadi anak kepada dia.
Sangkaan saya itu benar pada perempuan yang berwajah keibuan, menyejukkan mata tetapi dia tidak membuatkan saya berasa menjadi anak kepada dia. Malah, saya berasa dia seperti rakan sebaya walaupun anaknya sudah lima. Semuanya gara-gara wajahnya yang segar itu.



Mulanya hajat mahu berbincang berkenaan buku yang dia mahu tulis, tetapi kerana kagumnya saya kepada dia, saya lebih banyak cuba mencungkil rahsia berkenaan dirinya. Bertanya itu, bertanya ini dan kemudiannya, sampailah saya kepada soalan yang membuat saya rungsing.




No comments:

Post a Comment